fbpx
Tips Keibubapaan

Emosi Positif, Dorong Motivasi Anak-Anak

By September 5, 2019 September 13th, 2019 No Comments

Lain umur, lain cara didikannya. Betul? Begitulah jua dalam mendidik anak-anak terutamanya dalam hal ehwal pembelajaran di sekolah. Ibu bapa perlu menjadi pendorong utama dalam memastikan anak-anak sentiasa bersemangat untuk belajar agar menjamin masa hadapan.

Jika anak-anak berasa malas hendak belajar dan kurang kemahuan untuk belajar, itu suatu yang membimbangkan jua kerana pokok pangkal ilmu ialah belajar.

Kadangkala, bukan anak-anak tidak mahu belajar, mungkin  kerana tidak ada dorongan, perhatian dan semangat dalam diri mereka. Sebab itulah, mereka kelihatan malas dan sambil lewa dalam menutut ilmu di sekolah.

Sedar atau tidak, setiap perlakuan kita dalam kehidupan seharian didorong oleh emosi yang mengawal akal fikiran kita.

Contohnya, setiap kali perayaan, kita akan pulang ke kampung halaman daripada tempat tinggal kita yang berada di bandar dan mengambil masa yang berjam-jam untuk sampai ke kampung, ditambah pula dengan kesesakan jalan raya dan sebagainya. Tetapi, kita tetap bersemangat dan positif untuk pulang ke kampung meskipun melibatkan perjalanan jauh kerana didorong oleh emosi positif kita yang bersemangat untuk berjumpa ibu dan bapa di kampung. Apabila emosi kita positif, akal kita dan jiwa kita juga positif walau apa jua cabaran yang dilalui.

Sama juga dalam pertandingan sukan, sekiranya kita mempunyai emosi yang positif yang didorong oleh keadaan tertentu seperti mahu membanggakan ibu bapa, masyarakat dan negara, kita akan tetap bersemangat untuk berjuang sama ada menang atau kalah.

Emosi positif terkait dengan motivasi iaitu motivasi merupakan sesuatu yang memangkinkan, menimbulkan, menyemarakkan keinginan, keberanian dan kesungguhan bagai mencapai matlamat dan tujuan.

Apabila mempunyai motivasi yang kuat, anak-anak akan bersikap positif untuk mencapai apa yang diinginkan. Justeru, sebagai ibu bapa, peri pentingnya untuk memastikan emosi anak-anak yang positif untuk mendorong motivasi khususnya dalam aspek pembelajaran di sekolah dan kerjaya masa hadapan.

Perlu diingat, ibu bapa jangan mengajar dengan memaksa dan terlalu menekan anak-anak. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang ingin anaknya selalu mendapat markah 90 atau 100 peratus di sekolah, tetapi apabila keputusan keluar, anaknya mendapat markah yang rendah daripada nilai tersebut dan ibu bapa akan memarahi anaknya itu.

Jangan begitu…kelak prestasi belajar anak-anak anda akan menurun kerana mereka akan merasa kecewa kerana tidak memenuhi permintaan ibu dan bapa. Jiwa anak-anak juga menjadi tidak tenang di rumah dan di sekolah. Hal ini membuatkan mereka akan hilang minat untuk belajar. Sebaiknya, ibu bapa perlu menekankan kepada proses sesuatu pembelajaran tersebut untuk anak-anak dapat mempelajari sesuatu sehingga pandai disamping sentiasa memuji sebarang peningkatan yang ada pada anak-anak untuk mereka sentiasa bersemangat menggapai kejayaan. Emosi yang positif, mengawal akal. Justeru, perkara- perkara ini perlu dididik oleh ibu bapa kepada anak-anak untuk membentuk emosi dan pemikiran positif:

Didik anak-anak menjadi diri sendiri

Sebagai ibu bapa, seharusnya kita perlu menyakinkan anak-anak bahawa mereka adalah insan unik dan mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri yang tidak ada pada orang lain. Penting untuk ibu bapa menasihati anak-anak supaya menjadi diri sendiri agar anak-anak mempunyai sikap positif untuk berusaha mengembangkan potensi yang ada dalam dirinya. Ibu bapa juga perlu memaklumkan kepada anak-anak untuk teruskan berusaha kerana peluang sentiasa hadir bagi orang yang tidak kenal erti putus asa.

 

Didik anak-anak untuk berimpian tinggi

Selalunya apabila zaman kita menjadi murid sekolah dahulu, cikgu-cikgu mesti bertanya pada kita berkenaan apabila besar nanti, kita hendak jadi apa? Ada rakan-rakan kita yang akan berkata hendak jadi seperti ultraman lah, superman lah, doktor, peguam, juruterbang, guru dan sebagainya….

Tak mengapa, sekurangnya ada jawapan walaupun mengarut. Kadangkala boleh jadi mereka masih kecil dan hanya bergurau.

Sebagai ibu bapa, tanyalah juga pada anak-anak tentang cita-cita mereka. Semakin tinggi cita-cita anak-anak tersebut, semakin tinggi juga keazaman kita untuk mendorong semangat mereka untuk mencapai impian.

Apa jua cita-cita anak meskipun suatu hari nanti berubah apabila mereka sudah dewasa, perkara utama untuk ibu dan bapa lakukan adalah menggalakkan impian tersebut dan berikan dorongan positif untuk mereka mencapai impian yang diinginkan. Untuk anak-anak remaja, ibu bapa perlu bertindak positif di atas sebarang impian dan cita-cita mereka. Ibu bapa perlu menyokong dan mendorong anak-anak untuk mencapai impian tersebut selagi impian itu bermanfaat dan memberi kebaikan. Masing-masing pasti mempuyai minat dan cita-cita sendiri, kan? Sokonglah mereka, doronglah mereka…Pasti mereka bersemangat kerana disisi mereka ada dua insan tercinta yang sentiasa menyokong mereka. Emosi positif akan terpancar pada anak-anak dengan sokongan padu daripada ibu dan bapa untuk mereka bermotivasi tinggi menggapai impian.

 

Didik anak-anak untuk tidak takut gagal

Sememangnya sebagai ibu bapa, kita mahukan anak-anak sentiasa berjaya dalam peperiksaan. Namun begitu, jangan terlalu memaksa anak-anak kerana masing-masing ada keupayaan tersendiri untuk mencapai keputusan yang diharapkan. Sebenarnya, kegagalan ialah proses terbaik untuk berjaya. Kegagalan membuatkan anak-anak lebih berdaya juang dalam kehidupan. Apabila anak-anak tidak takut akan kegagalan, mereka akan lebih yakin dan terus melakukan apa jua dalam kehidupan mereka biarpun berdepan pelbagai risiko. Sikap tidak takut gagal akan menjadikan anak-anak sentiasa positif dan berjuang hingga menggapai kejayaan kerana tidak kenal erti putus asa. Apabila anak-anak bersikap tidak takut gagal, anak-anak akan menjadi lebih spontan dan cepat melaksanakan sesuatu tanpa bertangguh. Sikap berani akan muncul dalam diri mereka. Mereka juga akan sentiasa yakin biarpun berdepan pelbagai risiko dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa tidak perlu memaparkan emosi kecewa atau sedih terhadap anak-anak. Sebaiknya, apabila ibu bapa bersikap positif dan terus memberikan harapan pada anak-anak, emosi anak-anak akan menjadi positif dan mempunyai motivasi untuk mencapai kejayaan yang diharapkan.

Leave a Reply